Wednesday, April 23, 2008

PUTERI SEMAKIN MATANG DI DALAM ACUAN ‘KEPUTERIANNYA’

Saya mengajak semua ahli Puteri merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Puteri Umno Malaysia ( KPUM ), YB Dato’ Noraini yang membawa maksud bahawa beliau mengambil sikap terbuka di dalam isu pemilihan KPUM, walaupun lebih suka melihat ianya diselesaikan melalui kaedah permuafakatan kerana Puteri semakin matang dan tahu menilai pemimpinnya sendiri.

Saya bukan sahaja amat bersetuju dengan kenyataan beliau, malah berasa terharu dengan mesej yang disampaikan olehnya. Selaku “Senior” dalam Puteri, teringat saya pada kata-kata mantan KPUM, YB Dato’ Seri Azalina satu ketika dahulu.... “Biarlah Puteri bergerak pada acuannya sendiri”

Jelas terserlah ada seruan ikhlas daripada beliau, agar Puteri senantiasa mementingkan perpaduan di dalam berpolitik, walaupun di dalam kita mengamalkan demokrasi. Benar, demokrasi menghalalkan pertandingan. Tetapi apalah maknanya demokrasi itu sendiri, sekiranya harga yang perlu dibayar ialah perpecahan di dalam pergerakan ini.

Walau bagaimana pun, sekiranya pertandingan tidak dapat dielakkan dan sekiranya itu yang dikehendaki oleh ahli di peringkat akar umbi, maka saya cukup yakin Puteri telah cukup bijak dan amat matang di dalam memilih Ketuanya. Sudah pasti, Puteri akan menghayati mesej YB Dato’ Noraini.

Keyakinan saya ini adalah kerana umum memahami perjuangan Puteri adalah untuk kesinambungan generasi akan datang. Walaupun dalam usia 7 tahun, Puteri telah beberapa kali membuktikan tanpa ragu-ragu, bahawa kita adalah anak benih UMNO yang terbaik dan senantiasa kekal di dalam acuan ‘keputeriannya’ – suci tak tercemar - tenang tak terusik – tegas dalam kelembutannya.

Perlu sokongan akar umbi Walaupun dua pencalonan layak bertanding Ketua Puteri

Petikan Keratan Akhbar BERITA HARIAN 19 April 2008

... “Saya yakin Puteri peringkat cawangan dan bahagian cukup matang untuk menentukan siapa yang akan menggantikan saya kerana mereka sudah mengenali pemimpin,” katanya selepas merasmikan Hari Terbuka Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur, di sini semalam.
... Noraini diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin Puteri Umno yang menyokong pertandingan merebut jawatan tertinggi pergerakan itu, jika itu yang dimahukan ahli pada peringkat akar umbi.
Sebelum ini, Noraini yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menegaskan beliau lebih gemar untuk tidak melihat sebarang pertandingan merebut jawatan tertinggi Puteri Umno pada pemilihan kali ini.
Beliau berharap satu persefahaman dapat dicapai antara calon demi kelangsungan sayap itu dalam Umno tetapi berkata, pertandingan tidak dapat dielakkan jika itu kehendak peringkat akar umbi...

Ahli Puteri UMNO bebas pilih ketua

Petikan Keratan Akhbar BERITA HARIAN 18 April 2008


...Beliau berkata, ahli Puteri UMNO bebas memilih ketua baru mereka sama ada secara lantikan atau pertandingan pada perhimpunan agung parti itu nanti.
“Bagaimanapun, pemilihan secara perlantikan adalah cara yang paling ideal untuk dilaksanakan.
“Walaupun seseorang itu boleh bertanding apabila mendapat dua pencalonan, cara yang paling baik bagi mengisi jawatan itu adalah melalui lantikan,” katanya.
Menurutnya, ramai ahli pergerakan itu berkelayakan memimpin pergerakan tersebut, sementara ahli-ahli Puteri pula telah cukup matang untuk memilih calon terbaik untuk mewakili mereka.
Bagaimanapun, ujarnya sesiapa yang berminat bertanding jawatan itu haruslah sentiasa mengutamakan parti serta ‘memberi balik’ kepada masyarakat selaras dengan fokus perjuangan pergerakan tersebut.....

Lebih 5 orang kanan sayap UMNO sedia tanding kerusi ketua ikut restu akar umbi

Berita Harian 14 April 2008
KUALA LUMPUR: Kalangan pemimpin Puteri Umno, semalam menyatakan sokongan terhadap sebarang pertandingan merebut jawatan tertinggi pergerakan itu, jika itu yang dimahukan ahli pada peringkat akar umbi.

Setiausaha pergerakan, Bibi Sharliza Mohd Khalid adalah antara pemimpin Puteri yang secara terbuka menyatakan minat untuk menduduki jawatan itu tetapi menegaskan tidak akan menawarkan diri untuk bertanding tanpa sokongan atau kehendak akar umbi.“Tidak salah untuk kita bertanding jika orang nampak kredibiliti kita sebagai pemimpin dan tidak salah jika ada pertandingan tetapi biarlah secara sihat kerana pertandingan adalah pemilihan kepimpinan yang terbaik pada peringkat Puteri.

“Jika hendak pilih kepemimpinan, kena datang daripada akar umbi. Saya lebih yakin jika pemilihan untuk menduduki jawatan tetinggi dilakukan secara muafakat menerusi muzakarah kerana Puteri semakin matang”, katanya.

Bibi Sharliza yang juga Ketua Puteri Bahagian Rembau mengakui jawatan Ketua Puteri adalah landasan terbaik untuk mencurahkan khidmat memperkukuhkan parti.